Jasa Pak Lah naikkan gaji penjawat awam sehingga 35 peratus

Jasa Pak Lah naikkan gaji penjawat awam sehingga 35 peratus

ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Ke­satuan Pekerja Dalam Perkhid­matan Awam (Cuepacs) mengenang jasa Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menaikkan gaji lebih sejuta penjawat awam sehingga 35 peratus pada 1 Julai 2007. 

 

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, ketika itu, kumpulan sokongan menikmati kenaikan tertinggi sebanyak 35 peratus, manakala kumpulan tertinggi menerima kenaikan sebanyak 7.5 peratus.

 

“Cuepacs merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap jasa dan sumbangan beliau yang amat besar kepada penjawat awam semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima.  

 

“Selain itu, antara pencapaian utama beliau yang amat dihargai oleh warga perkhidmatan awam adalah lanjutan umur persaraan wajib. 

 

“Pada Mei 2008, kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai 2008. Langkah ini diambil setelah mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia dan memastikan peluang pekerjaan bagi graduan baru tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

 

Menurut Adnan, Tun Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah turut memperkenalkan sistem kenaikan pangkat secara khas untuk Penyandang (KUP) bagi memberi peluang kepada penjawat awam yang telah lama berkhidmat untuk menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan.

 

Katanya lagi, Cuepacs mengenang Allahyarham sebagai seorang pemimpin berjiwa besar, penyabar dan sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam. 

 

“Sumbangan beliau telah membawa perubahan besar dalam meningkatkan kesejahteraan dan motivasi penjawat awam di seluruh negara.  

 

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

 

Semalam, Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah pernafasan yang dialaminya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya