PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati kawasan kebakaran saluran paip gas Petronas yang bocor di Jalan Putra Harmoni, Putra Height dekat sini hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, walaupun pihak Petronas menutup injap saluran paip yang terbakar namun jarak sebenar lokasi penutupan injap belum dikenal pasti.
“Kebakaran masih berterusan dan turut menjejaskan beberapa buah rumah berhampiran, meningkatkan lagi risiko kepada penduduk.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini, anggota bomba menyelamatkan tujuh orang mangsa, termasuk dua warga tempatan.
Jelasnya, bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa yang terlibat serta tahap kemerebakan api di kawasan perumahan masih dalam siasatan.
“Menurut laporan awal, kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter, dengan api marak menjulang tinggi.
“Berikutan lokasi kejadian yang berhampiran dengan kawasan perumahan awam, pasukan bomba bersama agensi berkaitan telah menjalankan operasi evakuasi bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar,” katanya. – UTUSAN