PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mengambil inisiatif mengadakan perbicaraan kes faraid di kediaman waris di Shah Alam.
Jakess memaklumkan, perbicaraan berkaitan kes faraid ini tidak dapat dijalankan di dalam mahkamah memandangkan saksi bagi kes tersebut tidak dapat menghadirkan diri atas faktor kesihatan.
“Perbicaraan luar mahkamah ini menunjukkan usaha dan komitmen pihak mahkamah dalam menyelesaikan kes melibatkan pihak-pihak yang menghadapi kesulitan menghadiri kes di mahkamah secara fizikal,” kata Jakess dalam kenyataan.
Perbicaraan itu dikendalikan oleh Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain.-UTUSAN