BAGAN SERAI: Seorang wanita mahu menuntut keadilan terhadap suaminya yang maut dalam kemalangan di sini kelmarin.
Dalam kemalangan tersebut, mangsa, Nor Akmal Fahami Awang, 40, yang menunggang motosikal maut apabila dirempuh sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan di Jalan Besar Besar di sini.
Video kemalangan tersebut tular dan meraih simpati warga media sosial apabila rakaman daripada dashcam sebuah kereta menunjukkan detik-detik kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 1.30 petang.
Isteri mangsa, Haslina Muin, 43, berkata, berdasarkan rakaman dashcam jelas menunjukkan kereta Perodua Axia terbabas sehingga melepasi pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar suaminya.
“Saya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan kemalangan ini dan membawa pemandu terbabit ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika suaminya yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantar barangan, dalam perjalanan untuk menghantar barangan kepada pelanggan.
Katanya, dia sempat menghantar mesej kepada suaminya sebelum mendapat tahu kemalangan yang melibatkan suaminya.
“Dia hanya baca mesej yang saya hantar dan tekan ‘like’. Saya fikir dia sedang sibuk kerja.
“Ketika saya berehat di rumah mak mentua, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada rakan sekerja suami memberitahu suami saya terlibat kemalangan.
“Saya terus ke Hospital Parit Buntar dan diberitahu suami saya sudah tak ada. Saya rasa dunia gelap sekejap,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Tan Bak Hua mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. – UTUSAN










