Israel 'hancurkan' sambutan Syawal di Gaza, tekad kuasai kawasan lebih luas

Israel ‘hancurkan’ sambutan Syawal di Gaza, tekad kuasai kawasan lebih luas 

PENDUDUK Palestin yang melarikan diri dari Rafah tiba di bandar Khan Younis berikutan arahan pemindahan baharu oleh Israel di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Sambutan Syawal di Semenanjung Gaza terus dilimpahi darah dan air mata apabila Israel memperhebat operasi ketenteraannya, malah mengumumkan akan merampas kawasan yang lebih luas di wilayah Palestin itu.

Menteri Pertahanan, Israel Katz dalam satu kenyataan berkata, rejim itu sedang memperluaskan kehadirannya di Gaza untuk memusnahkan dan membersihkan wilayah tersebut daripada infrastruktur pengganas.

“Operasi yang diperluaskan ini akan membantu Israel menguasai kawasan lebih luas yang akan dimasukkan ke dalam zon keselamatan Israel,” tambahnya tanpa memperincikan jumlah wilayah yang akan diambil oleh Israel.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau memberi amaran minggu lalu bahawa tentera Israel akan segera beroperasi dengan kekuatan penuh di kawasan lain di Gaza yang dikawal Hamas.

Pada Februari lalu, Katz turut mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah agensi bagi pemindahan secara sukarela rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza.

Ini susulan komitmen Israel terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih wilayah tersebut selepas memindahkan 2.4 juta penduduk Palestin.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meneruskan pengeboman besar-besaran di Gaza sejak 18 Mac lalu sebelum melancarkan serangan darat baharu, sekali gus menamatkan gencatan senjata hampir dua bulan dengan Hamas.

Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah-rumah di Khan Younis dan kem pelarian Nuseirat awal pagi semalam.

Di Rafah, selatan Gaza, petugas perubatan mengesahkan seorang penduduk meninggal dunia akibat tembakan Israel sementara wartawan, Mohammed Al-Bardaweel, isterinya dan tiga anak mereka turut terbunuh dalam serangan terbaharu semalam.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, seramai 1,042 orang terbunuh sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraannya.

Lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), semua kedai roti di Semenanjung Gaza terpaksa menghentikan operasi tanpa tempoh yang ditetapkan sejak Selasa berikutan kekurangan kritikal bekalan tepung dan bahan api.

Ketua Persatuan Kedai Roti Gaza, Abd al-Nasser al-Ajrami memberitahu, penutupan ini turut melibatkan semua kedai roti yang menyertai Program Makanan Sedunia (WFP) susulan sekatan lebih sebulan oleh tentera Israel yang menghalang kemasukan bekalan penting ke wilayah berkenaan.

“Kawasan Rafah dan sekitarnya termasuk Khan Younis kembali menjadi medan tempur. Sebagai langkah keselamatan, anda perlu segera berpindah ke al-Mawasi,” ujar IDF merujuk kepada ‘zon selamat’ ciptaan mereka yang turut dihujani bom sebelum ini.

PBB Kecam Serangan Israel

Idea untuk memaksa penduduk Gaza meninggalkan wilayah yang musnah ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan pertama kali dikemukakan oleh Trump.

Cadangan itu kini diambil oleh ahli politik sayap kanan Israel, termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang berikrar untuk melaksanakannya.

Pada Ahad, Netanyahu menawarkan untuk membenarkan pemimpin Hamas meninggalkan Gaza tetapi dengan syarat kumpulan itu menyerahkan senjata mereka.

Beliau menolak kritikan dalam negara yang mendakwa kerajaan pimpinannya, antara yang paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel  tidak melakukan cukup usaha untuk membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

“Kami sedang berunding di bawah serangan. Kami dapat melihat tanda-tanda perpecahan mula muncul dalam pendirian Hamas.

“Dalam peringkat akhir, Hamas akan meletakkan senjata mereka. Pemimpinnya akan dibenarkan keluar,” katanya kepada Kabinet.

Hamas telah menyatakan kesediaan untuk berundur daripada pemerintahan Gaza tetapi menegaskan bahawa senjata mereka adalah ‘garisan merah’ yang tidak boleh dikompromi.

Mesir, Qatar dan AS sedang berusaha untuk melancarkan gencatan senjata sekali lagi serta membebaskan tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.

Seorang pegawai kanan Hamas pada Sabtu memaklumkan kumpulan itu telah meluluskan cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan oleh perantara dan menggesa Israel untuk menyokongnya.

Pejabat Netanyahu mengesahkan penerimaan cadangan tersebut dan menyatakan bahawa Israel telah mengemukakan cadangan balas namun butiran usaha rundingan terbaharu ini belum didedahkan.

Pada Selasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keras serangan tentera Israel ke atas konvoi kecemasan yang mengorbankan 15 pekerja perubatan dan bantuan kemanusiaa, serta menuntut siasatan dilakukan.

“Saya mengutuk serangan oleh tentera Israel ke atas konvoi perubatan dan kecemasan pada 23 Mac yang menyebabkan kematian 15 anggota perubatan dan pekerja kemanusiaan di Gaza,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Kempen ketenteraan Israel sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 50,399 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut angka terkini dari Kementerian Kesihatan wilayah itu.

“Pembunuhan beramai-ramai semakin berleluasa, ramai penduduk kebuluran dan menderita. 

“Tiada istilah kegembiraan buat kami. Ketibaan Aidilfitri kali ini jauh lebih buruk, tidak seperti tahun-tahun sebelum perang ini bermula,” kata seorang penduduk, Saed al-Kourd.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN