Ibu tunggal tidak kisah buat kerja lelaki demi sara anak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal tidak kisah buat kerja lelaki demi sara anak

nurfarahain menggunakan sepenuh kudratnya di tempat kerja setiap hari.-UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bolehkah dia buat? Dia kan perempuan.”

“Ini bidang lelaki, kenapa perempuan hendak kerja sini? Tidak ada kerja lainkah?

Itu antara cemuhan yang masih terpahat kemas di ingatan Nurfarahain Mat Saman, 34, ketika awal pembabitannya ke dalam bidang logistik.

Namun, segala kata-kata itu langsung tidak menjadi kudis pada dirinya, bahkan menjadi minyak yang memarakkan lagi semangat untuk mencari rezeki yang halal.

Buktinya, sudah lapan tahun Nurfarahain berkhidmat dalam industri kurier dan kini bergelar pemandu di Ninja Van Malaysia selepas pernah bekerja di syarikat kurier lain sebelumnya.

“Saya yakin apabila wanita memasuki bidang yang secara tradisional didominasi oleh lelaki seperti industri kurier, mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri tetapi juga membuka laluan untuk generasi akan datang.

“Bagi saya, setiap penghantaran dan cabaran yang dihadapi mencerminkan ketahanan dan keazaman. Sejak mula bekerja dalam industri ini pada tahun 2017, saya telah melihat sendiri bagaimana wanita membawa kelebihan tersendiri seperti empati, ketelitian dan kemahiran menyelesaikan masalah dengan cekap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peranan wanita dalam industri logistik semakin berkembang dengan data daripada Ninja Van Malaysia menunjukkan 18 peratus tenaga kerja terdiri daripada golongan itu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding hanya 15 peratus pada 2021 sekali gus menjadi penanda jelas perubahan sedang berlaku dalam industri yang pernah dianggap hanya untuk kaum lelaki.

KERJA BERAT, PERLU KUDRAT

Menjadi pekerja penghantaran barang bukan sekadar memandu van dan menghantar barang di depan pintu rumah pelanggan.

Banyak proses yang perlu dilalui sebelum bungkusan sampai ke tangan penerima. Antaranya diasingkan mengikut kawasan, proses imbasan dan kemudian disusun di dalam van penghantaran.

Nurfarahain yang mengendalikan penghantaran di Genting Highland menguruskan lebih 200 bungkusan setiap hari yang perlu disampaikan kepada para pelanggan dalam jangka masa ditetapkan.

Justeru, dia jugalah yang bertugas memuatkan segala bungkusan di dalam van sebelum dihantar ke para pelanggan.

“Memang banyak bungkusan setiap hari terutama pada waktu perayaan.

“Saya pernah menghantar lebih daripada 300 bungkusan dalam sehari. Musim perayaan sangat berbeza dengan hari biasa kerana permintaan pelanggan yang tinggi.

“Memang saya angkat sendiri semua bungkusan untuk dimuatkan di dalam van. Paling berat pernah saya angkat seberat 30 kilogram. Itu cabaran biasa untuk kerja saya,” katanya.

Biarpun mengakui kerja tersebut berat, wanita ini tidak pernah sekalipun terfikir untuk berhenti.

Seringkali bisa terasa di pinggangnya setiap kali habis waktu bekerja, namun dia lebih memikirkan masa hadapan anak-anak tersayang berbanding dirinya.

Bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia empat dan dua tahun membuatkan dia cekal mencari rezeki demi keselesaan hidup anak-anak.

“Saya bekerja dalam bidang ini sebelum berkahwin lagi dan saya memang sukakan kerja-kerja lasak.

“Bagi saya, kerja ini memang agak mencabar kerana sentiasa berada di atas jalan, menghadapi kerenah pelanggan dan sebagainya.

“Tetapi, ia juga membolehkan saya sentiasa berinteraksi dengan orang ramai dan melihat persekitaran yang berbeza-beza,” ujarnya.

Sokongan tidak berbelah-bahagi daripada keluarga juga menambahkan lagi keazamannya untuk bekerja keras demi menampung hidup.

Bahagi masa

Jadual kerja yang kadangkala menghampiri 12 jam setiap hari antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh ibu tunggal ini.

Membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga cukup mencabar baginya yang mula bekerja sekitar pukul 10 pagi dan hanya pulang ke rumah selepas waktu menginjak pukul 9.30 malam.

“Saya akan pastikan setiap hari cuti iaitu Ahad, saya akan luangkan masa secukupnya bersama anak-anak. Saat bersama anak-anak amat penting bagi saya.

“Mujurlah ada kakak yang membantu saya menjaga anak-anak, jadi saya dapat bekerja dengan tenang,” kongsinya.

Di sebalik ketekunannya mencari rezeki, ada satu impian kecil tersemat di sanubari.
Graduan bidang kulinari ini menyimpan hasrat untuk membuka kafe suatu hari nanti berbekalkan ilmu yang telah diperoleh di kolej sebelum ini.

“Saya memang minat sangat-sangat dengan bidang kulinari dan teringin untuk buka kafe nanti.

“Kerja ini sebagai salah satu usaha saya untuk menabung supaya hasrat untuk membuka kafe tercapai,” katanya.

Hapuskan stereotaip terhadap wanita dalam dunia pekerjaan

Menginjak ke dunia globalisasi, tiada lagi yang mustahil buat wanita.

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini mahu membuktikan wanita juga setanding dengan lelaki dalam dunia pekerjaan.

Asalkan pekerjaan yang dilakukan itu halal dan tidak melanggar agama atau undang-undang ia pasti boleh dilakukan tanpa mengira gender.

“Pengalaman saya sendiri, bermula daripada pekerja sambilan di Ninja Van sehingga memperoleh jawatan tetap menunjukkan bahawa ketekunan, pembelajaran berterusan dan persekitaran kerja yang positif mampu menghapuskan stereotaip yang paling sukar sekalipun.

“Walaupun ada yang mengkritik jadual kerja saya yang sibuk atau latar belakang pendidikan saya, saya menganggapnya sebagai dorongan untuk terus maju and membuktikan tiada yang mustahil.

“Saya berharap dengan berkongsi kisah ini, saya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain untuk mengejar cita-cita mereka dengan penuh keyakinan, kerana setiap sumbangan mereka adalah bernilai dan diperlukan dalam semua industri,” jelasnya.

Selain itu, dia bukan sahaja membuktikan kemampuan diri sebaliknya mahu menjadi contoh terbaik buat anak-anak dengan menunjukkan setiap perkara boleh dicapai dengan keazaman yang kuat.

“Selain membuktikan kemampuan diri, pekerjaan saya juga bertujuan menjadi contoh positif kepada anak-anak dan wanita lain bahawa dengan keazaman dan sokongan yang tepat, kita mampu mengatasi sebarang cabaran dan berjaya dalam apa jua bidang.

“Saya anak kedua daripada enam beradik. Membesar dalam keluarga besar telah mengajar saya nilai kerja keras dan ketabahan, prinsip yang saya pegang teguh dalam perjalanan kerjaya saya ini,” ujarnya.

Daripada melalui jalan berliku menghantar bungkusan di tanah tinggi hinggalah ke penempatan Orang Asli dilaksanakan dengan cemerlang.

Walaupun kemampuannya seringkali diragui oleh kaum lelaki hanya kerana bergelar seorang wanita, namun dia sentiasa membuktikan dirinya mampu melaksanakan tugas dengan cekap dan berhemah.

Kekuatan mental dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri membuatkan dia mampu bertahan dalam industri kurier yang cukup mencabar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN