CHERAS: Usahawan dan pelawak, Shuib, berkongsi hutang perniagaan puluhan ribu yang ditanggungnya sebelum ini semakin berkurang.
Jelas Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, usaha itu dicapai selepas dia melakukan perbincangan dengan agensi kerajaan yang terlibat demi memastikan segala tunggakkan berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
“Hutang itu sudah semakin berkurang, saya percaya kalau kita sudah mulakan bisnes dengan modal berjuta-juta, hutang pun berjuta jugalah.
“Hutang saya puluhan ribu yang dulu itu melibatkan keseluruhan perniagaan. Saya ada perniagaan-perniagaan lain cuma yang agak kritikal ialah jenama Bubble Bee.
“Memandangkan perniagaan sebelum ini agak besar, saya banyak berbincang dengan agensi kerajaan serta dapatkan nasihat daripada pihak bank setiap bulan.
“Tiada masalah, mereka semua sangat profesional asalkan kita sendiri mahu berikan kerjasama dan berunding. Mereka sangat alukan kita untuk berbincang,” katanya.
Shuib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa hutang perniagaannya yang melibatkan pihak kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan cukai.
Tambah penerima anugerah Celebrity Entrepreneur Of The Year 2021 itu lagi, apa yang dilaluinya adalah sebahagian daripada lumrah jatuh bangun sebagai ahli perniagaan.
Namun begitu, dia enggan mengalah sebaliknya merangka strategi memperbaiki kesilapan daripada pengalaman lampau.
“Satu per satu saya lihat perniagaan saya kembali rancak semula dan semoga momentum itu terus berkekalan.
“Beginilah perjalanan seorang usahawan, ada naik dan turun. Oleh itu jangan risau, kita lalui sahaja dan jangan berhenti.
“Macam saya, Allah kurniakan rezeki perniagaan bagus, cuma mungkin saya ada lakukan kesilapan, tidak fokus, tidak konsisten membuatkan banyak yang terlepas pandang.
“Jangan risau, kita perlu tempuh sahaja jangan berhenti. Selagi kita berikhtiar, insyaAllah, Dia akan mudahkan,” katanya ketika ditemui di majlis pembukaan restoran Nasi Bakar Bangkit di Cheras, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Shuib melancarkan perniagaan baru Nasi Bakar Bangkit yang beroperasi sejak Ramadan lalu.
Resepi bagi Nasi Bakar Bangkit dihasilkan oleh pasukan khas yang ditubuhkan khusus untuk pembangunan produk ini.
Meskipun tidak terlibat secara langsung dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai pengasas, Shuib bertindak sebagai penguji rasa (food tester) dalam beberapa sesi percubaan bagi memastikan tahap kepedasan serta padanan rempah mencapai cita rasa optimum. -UTUSAN