JOHOR BAHRU : Lima lelaki warganegara asing yang disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di kawasan Southkey, di sini, Sabtu lalu berjaya diberkas ketika melarikan diri ke Singapura.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 5 pagi, mangsa berusia 32 tahun diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu.
“Akibat serangan itu, mangsa telah mengalami beberapa kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital terbabit akibat tikaman di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan kejadian tersebut, semua suspek dipercayai melarikan diri termasuk ke Singapura bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Katanya, pukul 12.15 pagi kelmarin sepasukan anggota dari Bahagian D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya menahan seorang suspek ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik tersebut.
Katanya, susulan penahanan tersebut, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan pihak polis Singapura selepas mereka melarikan diri ke republik berkenaan pada pukul 6 petang semalam.
“Suspek pertama direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mac, manakala empat lagi suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Mac bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan rekod juga menunjukkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai di nasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis. – UTUSAN










