Hormati Piagam ASEAN, elak campur hal negara lain

Hormati Piagam ASEAN, elak campur hal negara lain

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak perlu menghormati prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara lain sebagaimana yang termaktub dalam Piagam ASEAN termasuk membabitkan urusan pilihan raya.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Rais Yatim berkata, perkara tersebut merupakan antara teras utama hubungan diplomatik dalam kalangan negara-negara ASEAN dan harus dipatuhi oleh semua pihak.

“Malah, di dalam Piagam ASEAN, ada peruntukan yang menjelaskan negara lain tidak boleh mencampuri hal ehwal dalaman sesebuah negara.

“Ia harus dihormati dengan membuat kenyataan tentang keagamaan, komuniti Islam di negara itu bukan tanggungjawab kita kecuali merentas keselamatan bangsa dan kaum berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini,  dua pemimpin parti Pas  iaitu Bendahari Agung parti, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar didakwa masuk campur dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2025 Singapura.

Perkara itu didedahkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan bersama pada 25 April lalu.

Mereka mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).

Bagaimanapun kata Rais, tiada sebarang tindakan boleh diambil Malaysia terhadap pemimpin politik yang didakwa cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama dalam PRU 2025 negara itu.

Beliau menjelaskan, hal ini kerana tiada sebarang lunas atau undang-undang yang sedia ada membolehkan tindakan diambil terhadap mereka.

“Sebagai Menteri Luar yang dilantik sebanyak dua kali, saya boleh menjelaskan yang tidak ada lunas yang boleh diambil tindakan oleh Wisma Putra ke atas pemimpin Pas itu,” katanya.

Katanya, namun Wisma Putra perlu memberi peringatan kepada semua pihak amnya agar perkara yang sama tidak berulang demi menjaga diplomasi di antara kedua-dua negara.

“Soal kenyataan yang muncul dalam Singapura itu bukan tanggungjawab kita dan bukan lunas kita untuk membalas komen, kecuali komen itu komen politik, itu soal lain. tetapi, itu bukan soal politik dan ia berkaitan keagamaan. Perkara itu berlaku di Singapura, ia bukan arena bagi kita menjuruskan pandangan.

“Bagaimanapun, saya bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Singapura mengingatkan tidak harus diulangi hal berkaitan kerja siasah dan pentadbiran republik keagamaan, jadi kita perlu berhati-hati dalam soal itu,” ujarnya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×