TAPAH: Hasrat pembangkang untuk merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan tercapai walaupun ada usaha untuk membawa kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap ke kawasan itu.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PRK Sungai Bakap tidak boleh dijadikan contoh ekoran isu yang dibangkitkan pembangkang ketika pilihan raya berlangsung tidak sama dengan situasi kini.
Malah katanya, tiada sebarang isu yang menjentik emosi pengundi di Ayer Kuning seperti mana yang berlaku di Sungai Bakap.
“Saya dapat maklumat mereka cuba kembalikan kemenangan DUN Sungai Bakap di Ayer Kuning selepas gagal di Nenggiri dan Mahkota.
“Saya telah pergi beberapa kali ke Sungai Bakap dan saya tahu mengapa kita kalah. Ketika itu terdapat emosi bercampur dalam kalangan pengundi dan di Ayer Kuning, emosi itu tiada,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Batu Tiga, Ayer Kuning di sini hari ini.
Menurut beliau, empat isu yang mengganggu emosi rakyat ketika PRK DUN Sungai Bakap ialah penyasaran subsidi diesel, BlackRock, Titah Adendum dan kenaikan tarif air.
Katanya, kesemua isu itu telah dimanipulasi pembangkang sehingga menjejaskan sokongan pengundi terhadap calon kerajaan pada pilihan raya itu Jun lalu.
“Saya lega apabila empat emosi di Sungai Bakap yang mengganggu fikiran rakyat tidak berlaku di sini. Saya yakin pengundi akan terjemahkan sokongan mereka kepada calon BN pada 26 April ini,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Maslan berkata, beliau yakin isu tempatan yang akan digunakan pembangkang pada PRK di sini tidak akan menggugat sokongan pengundi.
“Ada isu-isu kecil yang diketengahkan seperti jambatan di sebuah kampung yang masih belum siap dan laluan satu hala di pekan Tapah.
“Untuk pekan Tapah, saya telah dijemput wakil rakyat sebelum ini (Allahyarham Ishsam Shahruddin) pada November lalu dan ketika itu saya umumkan peruntukan sebanyak RM2.1 juta bagi memperbaiki jalan dan RM200,000 untuk pemasangan 18 batang lampu solar
“Peruntukan ini diumumkan bukan disebabkan pilihan raya tetapi permohonan Allahyarham ketika itu. Kerja-kerja pembaikan jalan sedang dijalankan dan dijangka siap pada 30 April ini,” katanya. – UTUSAN