MELAKA: Harga Rumah Mesra Rakyat (RMR) kekal pada harga RM75,000 seunit walaupun wujud desakan daripada kontraktor yang mahu ia dikaji semula berikutan kenaikan kos barang binaan pada masa ini.
Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci mengenai cadangan itu bagimenentukan kewajaran menaikkan harga RMR yang dikhususkan kepada golongan B40 dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.
“Kalau boleh memang harga rumah berkenaan mesti dikekalkan dengan kadar yang ada sekarang, khusus kepada pemohon dari golongan B40 tetapi pada masa yang sama kita juga hendak bantu usahawan kecil-kecilan ini yang mendapat projek SPNB.
“Ada desakan daripada pihak kontraktor untuk naikkan harga rumah berkenaan kerana mereka terkesan dengan kenaikan kos binaan, di mana mereka perlu bayar gaji pekerja dan sebagainya.
“Kita perlu buat kajian terperinci mengenai cadangan tersebut memandangkan kos barang binaan di beberapa negeri tidak sama antara satu sama lain. Kita perlu menilai dari semua aspek sebelum buat keputusan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Penyerahan Inden Kerja RMR 2025 di Pejabat SPNB Melaka, Taman Lagenda di sini, semalam. – UTUSAN