Hambali laku, Fattah Amin dapat tawaran berlakon dari Indonesia - Utusan Malaysia

Hambali laku, Fattah Amin dapat tawaran berlakon dari Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berkat drama Bidaah, pelakon yang membawa karakter Hambali, Fattah Amin turut terkena tempias populariti.

Berkesempatan mengunjungi Bali, Indonesia baru-baru ini, kehadiran Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dirai oleh rakan pelakon filem Trinil, Rangga Nattra.

“Waktu ‘shoot’ rasa biasa sahaja tapi bila bercakap tentang karya, kita pun tak tahu. Rezekilah jika cerita itu mahu meletup. Memang ia tidak dijangka.

“Sebelum ini saya pernah berlakon satu projek dengan Rangga dan kami ada bertemu di Bali.

“Dia yang beritahu saya drama itu memang popular di sana. Rakan-rakan produksi serta pelakon yang lain minta Rangga kirim salam kepada ‘Hambali’,” katanya ketawa.

Fattah ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Kulit Wayang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fattah mengakui mula menerima tawaran berlakon dari negara seberang namun terpaksa melepaskannya kerana jadual kerja bertindih dengan projek yang lain.

“Ada terima tawaran tapi jadual tidak mengizinkan pula.

“Cuma yang penting ialah karya dan karakter. Kalau ia seronok, maka saya lebih bersemangat mahu teroka.

“InsyaAllah kalau ada rezeki saya akan buat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fattah kini tampil menerusi karakter Tok Dalang bernama Pak Lee yang kehilangan anak menerusi filem Kulit Wayang.

Kulit Wayang arahan pengarah, Dain Said, bakal menemui penonton bermula 1 Mei ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN