MENANGANI isu ketirisan dan rasuah pada waktu kini bukan perkara mudah oleh mana-mana pemimpin sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Ini kerana pelbagai spekulasi dimainkan dalam media sosial tanpa mengetahui kesahihan sesuatu dakwaan, lantas menimbulkan tanggapan negatif kepada pihak-pihak yang terbabit sebelum diputuskan bersalah.
Dalam hal ini, ia memerlukan daya usaha yang tinggi daripada pihak kerajaan untuk menangkis persepsi mengenai ketirisan dan rasuah, maka sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu lantang dan vokal dalam membanteras rasuah.
Sejak dari zaman reformasi membawa Pakatan Harapan (PH) dari jalanan sehingga diangkat menjadi kerajaan, membanteras rasuah menjadi agenda utama sehingga hari ini.
Mengambil pendekatan tersebut, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut menggariskan perkara yang sama melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dimana pada ketika ini bukan sahaja berusaha memulih dan membangunkan semula ekonomi negeri, malah memantapkan sistem penyampaian kerajaan agar lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Selaras dengan itu, Hajiji menjelaskan yang kepemimpinannya amat menitikberatkan strategi pertama pembudayaan dan pengukuhan integriti perkhidmatan awam di negeri ini.
“Kepemimpinan kerajaan negeri menitikberatkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan yang dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi bagi memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (Governans, Integriti dan Antirasuah),” katanya.
Menurut Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr. Romzi Ationg, meskipun rasuah sering dikaitkan pada zaman pentadbiran Hajiji, namun tindakan tegas yang diambil memberi gambaran yang beliau antara Ketua Menteri Sabah yang berani membuat perubahan drastik bagi mengelakkan rasuah menjadi ‘barah’.
“Rasuah ini bukan pada zaman Datuk Seri Hajiji sahaja, ia sudah wujud sejak sebelum zaman pentadbiran Datuk Seri Hajiji lagi. Tetapi dulu tiada media sosial, maka masyarakat tiada akses untuk mengetahui tentang ketirisan yang berlaku.
“Secara keseluruhannya, langkah-langkah proaktif yang diambil Datuk Seri Hajiji dalam membanteras rasuah telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri dan meletakkan Sabah sebagai contoh dalam pengurusan integriti dan tadbir urus di Malaysia.
“Malah, Datuk Seri Hajiji juga mempunyai naratif tersendiri dalam melawan ketirisan dan rasuah, contohnya terdapat isu yang melibatkan kontraktor dan Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), beliau menukar pegawai untuk mengelakkan ketirisan dan itu merupakan keputusannya sendiri,” ujarnya.
Peningkatan hasil negeri yang drastik sejak kebelakangan itu merupakan pencapaian yang membanggakan, namun dalam situasi kewangan kukuh kini, Hajiji mengingatkan semua pihak bahawa ini bukan masa untuk berasa selesa dan berpeluk tubuh.
Dalam masa yang sama, jelas Romzi lagi, pertimbangan perlu dibuat berdasarkan rezab simpanan tunai Sabah meningkat dari RM4 bilion kepada RM8 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sabah khususnya.
“Setiap pembangunan dan kemajuan perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas, di Yayasan Sabah sejak Datuk Seri Hajiji mengambil alih, simpanan Yayasan meningkat sehingga RM400,000 dan kini simpanannya hampir RM1 juta, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini memegang tampuk kepimpinan hanya dalam masa dua tahun susut RM30 juta, malah dilihat juga tiada percambahan untuk memperbanyakkan keuntungan. Ini realitinya,” ujarnya.
Selain itu, penempatan di kawasan luar bandar turut dibangunkan secara keseluruhan, sekali gus wajar menjadi perhatian kerana banyak fokus dan sasaran yang telah dicapai selama hampir lima tahun memerintah.
“Isu rasuah adalah perspektif yang terlalu kecil untuk difokuskan, ini kerana banyak pembangunan yang telah dibuat meliputi keseluruhan aspek yang memberi kestabilan kepada kepada rakyat Sabah,” ujarnya.
Kepimpinan Hajiji mendapat tempat di hati masyarakat, di mana Muadzad Shahrom Muhasip berkata, meskipun dilihat Ketua Menteri itu menghadapi pelbagai tekanan politik, namun beliau konsisten dengan pendekatan ‘lebih tindakan daripada retorik’ dengan memberi fokus terhadap beberapa inisatif kepada rakyat.
“Sebagai pemimpin yang berwawasan, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa mengutamakan kepentingan dan kemakmuran jangka panjang rakyat Sabah. Pentadbiran beliau komited untuk mewujudkan paradigma baru ketelusan dan integriti di semua peringkat.
“Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai kesabaran dan ketabahan Datuk Seri dalam memimpin negeri ini di tengah-tengah cabaran politik dan ekonomi global. Kredibiliti, personaliti kuat dan jiwa kepimpinan beliau telah memberikan kestabilan yang sangat diperlukan untuk kemajuan Sabah,” katanya.
Seorang lagi rakyat Sabah, Mohd Rasmalyzan Abd Rashad berkata, tindakan Hajiji yang tidak mencampuri siasatan berkaitan skandal rasuah membuktikan beliau seorang pemimpin yang telus dan benar-benar mahu membanteras ketirisan.
“Ketika berdepan dakwaan rasuah, Hajiji menunjukkan ketelusan dengan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa campur tangan kerajaan negeri . Pendekatan ini mencerminkan prinsip kepimpinan beliau yang berasaskan kebertanggungjawaban dan amanah,” ujarnya. – UTUSAN