GEORGE TOWN : Seorang guru tuisyen wanita mengalami kerugian sebanyak RM919,990 selepas menjadi mangsa satu sindiket penipuan telefon atau phone scam, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu, mangsa yang berusia 48 tahun itu tampil membuat laporan mengenai kejadian tersebut, Selasa lalu.
“Siasatan awal polis mendapati, mangsa telah menerima satu SMS (khidmat pesanan ringkas) pada 11 April lalu (Jumaat) kira-kira pukul 11.57 pagi daripada satu nombor telefon yang tidak dikenali, memaklumkan mengenai penggunaan kad (bank) Maybank milik mangsa.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat pindahan wang dari akaun peribadi ke akaun syarikat miliknya sendiri kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, mangsa kemudian membuat pindahan sebanyak RM800,000 pada 11 dan 14 April lalu, malah, turut menyerahkan kata laluan sekali guna (OTP) kepada suspek tanpa menyedari ia sebahagian daripada taktik licik sindiket tersebut.
“Pada hari yang sama iaitu kira-kira pukul 8.00 malam, mangsa membuat semakan terhadap akaun syarikatnya dan mendapati, terdapat sejumlah 32 transaksi pindahan wang secara atas talian telah berlaku ke beberapa akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM919,990.
“Mangsa bagaimanapun menafikan telah melakukan transaksi berkenaan dan percaya dirinya telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Abdul Rozak menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan bertenang sekiranya menerima sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
“Segera tamatkan panggilan dan lakukan semakan dengan pihak berkuasa melalui portal semakmule di https://semakmule.rmp.gov.my atau hadir ke mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Penipuan dalam talian adalah jenayah komersil yang boleh dicegah jika masyarakat mempunyai pengetahuan dan berwaspada dengan taktik-taktik yang digunakan scammer,” katanya.-UTUSAN