BAGAN DATUK: Penghasilan bahan api bio daripada getah sekerap merupakan antara inovasi yang mampu membantu industri getah negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu antara langkah yang boleh menaikkan harga getah sekali gus membawa kesan positif buat para pekebun kecil.
Jelasnya, industri getah tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kerajaan dari segi penetapan harga lantai semata-mata.
“Kita telah mendapat produk yang dikeluarkan daripada getah sekerap, iaitu biofuel yg menyerupai diesel dan petrol. Ini harus diperkembangkan lagi, harus mendapat pengiktirafan badan-badan piawaian.
“Jika berjaya, harga getah sekerap akan meningkat apabila permintaan pengeluaran biofuel daripada getah dapat dikomersialkan. Ini perlu diusahakan bersungguh-sungguh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival RISDA Madani (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di sini hari ini.
Kata Ahmad Zahid, mengikut laporan diterimanya satu kilogram (kg) getah sekerap dapat menghasilkan sehingga lima liter bahan api bio, dan mahu peruntukan disalurkan agar penyelidikan dan pembangunan boleh diperkasakan.
Selain itu katanya, penebangan kayu-kayu getah tua hasil aktiviti penanaman semula boleh dilakukan pengawetan bagi dijadikan sebagai bahan utama untuk pengeluaran perabot berasaskan kayu.
Dilaporkan sebelum ini RISDA menyasarkan harga getah sekerap ditetapkan pada kadar RM5 per kg manakala RM15 per kg bagi getah lateks.
Ahmad Zahid juga berkata, pembelaan terhadap pekebun kecil getah turut dibuat menerusi pembukaan kedai serbaneka RisSMart di bawah RISDA bagi memasarkan produk keluaran pekebun-pekebun kecil getah.
Katanya, RisSMart24 kini mempunyai 11 buah cawangan yang tertumpu di kawasan Lembah Klang dengan berjaya mempamerkan prestasi yang baik seperti mana pasar raya mini atau serbaneka yang lain.
Beliau sebelum itu menyempurnakan KARRISMA Zon Utara 2025 yang menjadi platform RISDA dalam memperkasa ekosistem keusahawanan desa dengan menghimpunkan penyertaan usahawan pekebun kecil dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. – UTUSAN