Gangguan cuaca cabaran utama rungkai misteri MH370

Gangguan cuaca cabaran utama rungkai misteri MH370

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Operasi pencarian terkini pesawat Malaysia Airlines MH370 yang diumumkan baru-baru ini terpaksa ditangguhkan ke penghujung tahun ini disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Menurut pakar penerbangan, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan, cabaran besar dalam pencarian ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal dan logistik, malah cuaca juga merupakan faktor penentu kejayaan operasi.

“Pencarian di kawasan Lautan Hindi memerlukan perancangan yang rapi dan tumpuan kepada musim pelayaran yang selamat. Sekiranya kapal terdedah kepada risiko ribut atau arus deras, ia boleh menjejaskan keselamatan kru.

“Namun begitu, pencarian tetap diteruskan walaupun te­lah lebih 11 tahun sejak MH370 hilang, usaha mencari pesawat itu masih relevan demi keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, syarikat eksplorasi dasar laut, Ocean Infinity, yang diberikan tanggungjawab menjalankan pencarian, memaklumkan bahawa cuaca buruk dan keadaan laut yang bergelora menjadi halangan utama kepada pergerakan kapal dan kelengkapan teknologi sonar yang digunakan.

Dalam pada itu, Nik Ahmad berkata, penemuan bangkai pesawat atau kotak hitam akan memberikan jawapan kepada misteri kehilangan MH370.

Katanya, ia bukan sahaja penting untuk waris, tetapi untuk industri penerbangan memahami punca sebenar ia terjadi.

Beliau menegaskan bahawa setiap usaha pencarian adalah satu bentuk tanggungjawab moral dan simbol komitmen berterusan Malaysia dalam menyelesaikan tragedi bersejarah itu.

“Sekiranya pencarian terbaharu ini tidak membuahkan hasil, ia tetap boleh diteruskan pada masa hadapan sekiranya terdapat data baharu yang boleh dipercayai,” katanya.

Pesawat MH370 hilang daripada radar, 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya