IPOH: Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria menuntut Ketua Pemuda DAP yang juga exco kerajaan negeri Perak, Woo Kah Leong meminta maaf kerana menjadikan gambar wajahnya dengan berpakaian seperti seorang badut dalam media sosial.
Razman yang kini digantung daripada menghadiri sidang DUN berkata, menggunakan gambar wajahnya tanpa keizinan dan bersifat kandungan yang berbentuk provokasi merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Beliau meminta Kah Leong supaya memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 jam.
“Saya dengan ini menuntut permohonan maaf di Dewan Negeri Perak hari ini oleh Ketua DAPSY, Woo Kah Leong yang merupakan Exco negeri Perak khususnya dalam ucapan penggulungan dan menarik balik kandungan tersebut dalam Facebook secepat mungkin.
“Jika tiada sebarang permohonan maaf, saya tidak teragak-agak akan membuat aduan dan membuat tindakan perundangan kepada exco daripada DAP supaya memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 Jam.
“Saya juga meminta kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk segera membuat siasatan dan membuat tindakan sewajarnya kepada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pasir Berdamar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, semasa persidangan DUN, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin membangkitkan mengenai tindakan Kah Leong yang menjadikan gambar wajah Razman berpakaian seperti seorang badut dalam media sosial.
Sesi penggulungan pada sidang DUN Perak bermula hari ini daripada Exco Kerajaan Negeri Perak yang memberikan jawapan balas mengenai dengan semua perbahasan dan isu berbangkit. – UTUSAN