SUBANG JAYA: Kerajaan negeri akan memfokuskan kepada isu pengurusan rumah sewa serta baik pulih kediaman mangsa selepas menyelesaikan operasi pembersihan di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, minggu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih 307 buah rumah telah selamat diduduki semula dan proses pengagihan bantuan sewa dijangka bermula minggu depan selepas penilaian terakhir dilakukan.
“Kita sudah masuk fasa terakhir. Minggu hadapan kita akan fokus kepada penyewaan dan baik pulih rumah mangsa terlibat selepas kerja-kerja pembersihan awam selesai,” katanya dalam sidang akhbar di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, setakat ini hampir 80 peratus pembersihan di Putra Heights telah diselesaikan hasil usaha KDEB Waste Management (KDEBWM) dan sukarelawan yang digerakkan sejak seminggu lalu.
Jelasnya, fokus kini diberikan kepada Kampung Kuala Sungai Baru yang baharu sahaja dibenarkan untuk dimasuki pihak pembersihan.
“Dengan kekuatan lebih 2,106 orang termasuk sukarelawan dan agensi luar, kita yakin proses ini akan selesai dalam tempoh dua hari. Seterusnya, bantuan baik pulih akan dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN