SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan empat individu termasuk seorang wanita dipenjara 10 tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang ejen insurans, empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas empat tertuduh S.Jeeva, 55, M. Raja, 39, P. Yogan Pillay, 29, dan tertuduh wanita, M. Bereamalah, 43, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Rohani berkata, hukuman terbabit dijatuhkan selepas menimbang rayuan mitigasi peguam dan hujahan pemberat daripada pihak pendakwaan.
Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap antara November hingga Disember 2021.
Mengikut pertuduhan pilihan, kesemua empat tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang ejen insurans, P. Rajasegaran, 52, tanpa niat membunuhnya.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10.30 pagi pada 12 November 2021 dan 4.45 petang pada 2 Disember 2021 di tingkat 10 sebuah menara syarikat insurans di sini.
Sehubungan itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 perundangan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian memaklumkan representasi tertuduh yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara telah diterima dan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibenarkan mengikut pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Pihak pembelaan yang diwakili peguam Fahmi Abdullah, G. Subramaniam Nair, Daniel Selvam dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum kerana pengakuan bersalah keempat-empat tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.
Menurut pihak pembelaan, kesemua tertuduh pertama kali melakukan kesalahan telah menyesal dan berjanji tidak akan melanggar undang-undang pada masa hadapan.
Berdasarkan fakta kes, isteri mangsa berusia 44 tahun yang bekerja di syarikat insurans sama membuat laporan polis pada 12 November 2021 selepas dia gagal menghubungi mangsa melalui telefon bimbit.
Polis kemudian telah menemui kereta mangsa ditinggalkan di Banting empat hari kemudian pada 16 November 2021.
Siasatan awal polis mendedahkan bahawa jenayah itu berkaitan dengan pemerasan dan polis turut menemui barangan emas milik mangsa yang dijual Bereamalah kepada sebuah kedai barang kemas di Klang.
Ketiga-tiga suspek lelaki itu juga membawa polis secara berasingan ke kawasan di Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat masing-masing pada 2 dan 7 Disember 2021 di mana mereka mendakwa meninggalkan mangsa di situ. – UTUSAN