KUANTAN: Sebanyak tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan keuntungan manakala dua lagi mengalami kerugian berdasarkan prestasi kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi GLC negeri sentiasa dipantau bagi memastikan ia kekal penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.
Kata beliau, setakat tahun berakhir 2024, sebanyak sembilan syarikat induk atau perbadanan menerajui GLC negeri dan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.
“Tujuh GLC yang mencatatkan keuntungan ialah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang (YP), Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kumpulan Pahang Corporation (Pahang Corp), Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).
“Dua syarikat yang mengalami kerugian pula ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini.
Menurut Wan Rosdy, kerugian ASPA berpunca daripada prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad yang mencatatkan kerugian berjumlah RM13.6 juta.
Sementara itu, kerugian dialami PPPB disebabkan pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang menjejaskan operasi serta jualan syarikat.
“Kita sudah mengambil langkah penambahbaikan termasuk penyediaan pelan pemulihan perniagaan untuk tempoh lima tahun bagi Mentiga Corporation Berhad.
“Bagi PPPB pula, rayuan kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula lesen AP sedang diteruskan selain pertimbangan terhadap pelbagai alternatif untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat,” katanya. – UTUSAN