‘Doktor’ beca Melaka

‘Doktor’ beca Melaka

MUHAMMAD HUSAINI Sulaiman bukanlah nama besar dalam kalangan masyarakat, namun peranannya sebagai pembuat beca sangat besar dalam memastikan warisan itu tidak hilang ditelan arus pemodenan. - MINGGUAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Di sebalik kemajuan pesat dan kesibukan Bandaraya Melaka sebagai bandar pelancongan bertaraf dunia, masih wujud sekelompok kecil individu yang setia memelihara identiti asal negeri bersejarah ini.

Salah satunya melalui beca tradisional yang terus menjadi nadi kepada budaya dan ekonomi tempatan.

Muhammad Husaini Sulaiman, 29, bukanlah nama besar dalam kalangan masyarakat, namun peranannya sebagai pembuat beca sangat besar dalam memastikan warisan itu tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Berasal dari Kampung Morten di sini, Muhammad Husaini merupakan salah seorang daripada dua pembuat beca yang masih aktif dalam pembuatan beca secara tradisional dan baik pulih kenderaan itu di Melaka.

Lebih membanggakan, segala kemahiran dimilikinya adalah hasil tunjuk ajar tidak formal daripada pengalamannya mengayuh beca sejak remaja, selain mengikuti jejak langkah bapa saudara yang turut bergelar pengayuh beca.

“Saya mula mengayuh beca sejak umur 16 tahun sebagai kerja sambilan. Kerja hakiki saya sebenarnya jurukimpal di Sungai Udang.

“Bila syarikat tempat saya bekerja menamatkan perkhidmatan saya pada 2020, saya nekad untuk jadikan pekerjaan ini sebagai punca rezeki utama,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di bengkel kecil miliknya di Lorong Bukit Cina, Banda Hilir, baru-baru ini.

TRADISI YANG DIBINA DENGAN TANGAN

MUHAMMAD HUSAINI Sulaiman menunjukkan sebahagian tempahan beca yang sedang disiapkan di bengkel kecil miliknya di Lorong Bukit Cina, Banda Hilir, Melaka. – MINGGUAN/AMRAN ALI

Berbeza dengan kenderaan moden yang dihasilkan di kilang menggunakan jentera automatik, sebuah beca Melaka memerlukan sentuhan manusia dari awal hingga akhir.

Muhammad Husaini menjelaskan, rangka awal beca diperoleh daripada basikal biasa yang ditempah dari kedai khusus, sebelum diubah suai sepenuhnya.

“Tempat duduk penumpang kami bentuk mengikut ukuran standard khas beca Melaka. Bahagian atas beca, termasuk bumbung dan hiasan akan dibuat mengikut kehendak pelanggan.

“Ada yang suka gaya klasik, ada yang mahukan warna-warni bunga dan patung hiasan, bahkan ada yang minta beca kosong seperti zaman dahulu,” jelasnya.

Katanya, proses pembinaan sebuah beca mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan, bergantung kepada ketersediaan bahan asas dan tahap kekemasan yang diinginkan pelanggan.

“Kos bagi sebuah beca pula boleh mencecah dari RM8,000 hingga RM9,000 untuk sebuah beca penuh hiasan.

“Sekarang harga bahan mentah seperti besi makin naik. Modal memang tinggi. Kebanyakan masa saya guna duit sendiri, dan ada pelanggan yang bayar ansuran,” tambahnya.

DEMI MEMPERTAHANKAN TRADISI

Ditanya sama ada reka bentuk beca berubah mengikut peredaran masa, Muhammad Husaini menjawab, bentuk asas beca Melaka masih kekal seperti dahulu.

“Cuma, yang berubah hanyalah aspek hiasan luar dan penambahan teknologi seperti sistem radio yang dihidupkan menggunakan bateri kereta.

“Pernah pelancong luar negara cadangkan supaya kita pasang enjin. Tapi bagi saya, kalau sudah ada enjin, itu bukan beca. Tradisi beca adalah kayuhan manual. Kita jaga supaya kekal asli. Bateri itu pun hanya untuk muzik, bukan bantu kayuh,” katanya sambil menunjukkan sistem radio yang tersorok kemas di bawah tempat duduk penumpang.

BECA SEBAGAI IKON BUDAYA DAN SUMBER EKONOMI

TERDAPAT 260 pengayuh beca yang aktif di Banda Hilir, Melaka. – MINGGUAN/ARIF HAMIZAN MISKON

Menurut rekod, terdapat hampir 260 beca yang masih beroperasi di sekitar Bandaraya Melaka. Majoritinya digunakan pelancong yang ingin menikmati keunikan Melaka daripada perspektif jalanan, sambil mendengar lagu tradisional Melayu atau irama pop retro menerusi pembesar suara.

“Kalau zaman dulu beca digunakan untuk ke pasar, sekarang beca ini sumber ekonomi utama bagi ramai orang.

“Kami ini macam duta kecil Melaka, bawa pelancong pusing bandar, kongsi cerita sejarah, tunjuk bangunan warisan,” katanya.

Bagi Muhammad Husaini, kehadiran beca di Melaka bukan sekadar hiasan pelancongan tetapi menjadi simbol kelestarian budaya dan warisan. Pembuat beca seperti dirinya kini sedang mempertahankan identiti bangsa, di kala banyak warisan lain kian dilupakan.

HARAPAN KEPADA KERAJAAN DAN GENERASI BAHARU

Walaupun industri beca masih bertahan, cabaran tetap ada terutama daripada segi modal dan kekurangan pelapis muda dalam bidang pembuatan.

Namun, dia tetap optimis terhadap masa depan warisan ini, selagi mana sokongan daripada kerajaan negeri dan masyarakat tidak putus.

“Dulu masa zaman Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam (Yang Dipertua Negeri Melaka) menjadi Ketua Menteri ada bantuan kepada pengayuh dan pembuat beca.

“Sekarang ini, bantuan lebih kepada sumbangan hari raya sahaja. Kalau boleh, biarlah ada skim bantuan khas untuk kami yang masih mempertahankan warisan ini,” ujarnya.

Tambah Muhammad Husaini, kecenderungan generasi muda untuk bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan sedikit sebanyak memberi sinar kepada kesinambungan industri beca.

“Sekarang alhamdulillah, makin ramai anak muda yang ikut jejak ayah dan datuk mereka, bawa beca dan jaga warisan. Cuma bahagian buat beca ini masih kurang, saya harap akan ada yang mahu belajar dan teruskan kerja ini,” katanya.

WARISAN YANG PERLU DIPERTAHANKAN

Dalam dunia yang semakin pantas dengan digitalisasi, kewujudan beca tradisional di tengah-tengah bandar warisan seperti Melaka menjadi pengingat bahawa nilai budaya tidak boleh diukur dengan wang ringgit semata-mata.

Selagi ada insan seperti Muhammad Husaini yang tegar mempertahankan warisan dengan tulang empat keratnya, selagi itulah kita boleh berharap bahawa sesuatu budaya akan terus hidup.

Bukan hanya sebagai tinggalan sejarah, tetapi sebagai denyut nadi ekonomi dan identiti bangsa serta menyara perut ratusan keluarga di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN