DBKL diberi tempoh hingga Ogos `bersihkan’ penjaja tidak berlesen

DBKL diberi tempoh hingga Ogos ‘bersihkan’ penjaja tidak berlesen

ZALIHA Mustafa ketika menghadiri program Semarak Aidilfitri Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tempoh hingga Ogos ini untuk melaksanakan pemutihan penjaja tidak berlesen di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha tersebut akan dilakukan di bawah inisiatif Lestari Niaga.

Kata beliau, proses tersebut merupakan peluang terakhir untuk penjaja berdaftar mengikut proses ditetapkan.

“Saya minta DBKL laksana proses pemutihan menyeluruh ke atas semua penjaja tidak berlesen di Kuala Lumpur sebagai sebahagian inisiatif Lestari Niaga.

“Tempoh empat bulan diberikan sehingga Ogos untuk penjaja tampil, daftar dan ikut proses yang ditetapkan. Tapi perlu faham, bukan semua layak diberi lesen kerana ada pertimbangan tertentu,” katanya semasa Program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tambah Zaliha, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana penjaja yang gagal mendaftar dalam tempoh diberikan.

“Saya ingin tegaskan, ini adalah ruang pembetulan, bukan pengampunan yang mutlak. Kita beri peluang. Selepas itu, jika tidak tampilkan diri, kita akan bertindak dengan lebih tegas,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,000 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diraikan menerusi pemberian zakat sebanyak RM200 seorang dalam Program Semarak Aidilfitri berkenaan.

Menurut Zaliha, sumbangan hasil kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diagihkan kepada asnaf berdaftar melalui rekod eKasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIWP.

Program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan bersama DBKL itu bagi menyantuni komuniti setempat dan turut melibatkan lebih 20 penjaja dan peniaga kecil melalui program Ihsan@PUJI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN