Tindakan provokatif Menteri Israel hina umat Islam

Tindakan provokatif Menteri Israel hina umat Islam

MASJID al-Aqsa menjadi saksi keagungan Rasulullah SAW pada malam peristiwa Israk Mikraj. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif seorang menteri rejim Zionis Israel dengan memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, semalam.

Wisma Putra menegaskan tindakan biadap yang dilakukan semasa kawasan masjid itu ditutup kepada jemaah Islam adalah pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menghina tapak suci umat Islam itu.

“Tindakan melulu seperti itu menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau, dan mencabul hak agama umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menekankan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Al‑Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah kewajiban yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wisma Putra, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam dengan keras tindakan Israel dan menuntut agar ia segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut.

“Malaysia menekankan semula solidariti teguhnya dengan rakyat Palestin dan komitmen untuk menjaga warisan agama, budaya dan negara mereka.

“Kita juga mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN