Dalang sindiket seludup bunga ganja RM2.64 juta diberkas

Dalang sindiket seludup bunga ganja RM2.64 juta diberkas

MAT ZANI@MOHD. SALAHUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM2.64 juta bagi pasaran Eropah tumpas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan dua lelaki selaku dalang sindiket, kelmarin.

Penahanan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dan lelaki warga China berusia 38 tahun dilakukan JSJN itu berdasarkan maklumat dan risikan sebelum melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 5.25 pagi di sebuah kedai kopi di Sepang, Selangor.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, penahanan dilakukan pada suspek kedua pada pukul 6.15 pagi di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang.

“Seterusnya, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah rumah sewa di Bukit Changgang, Banting, pada pukul 9.35 pagi hari sama.

“Pemeriksaan ke atas bilik utama rumah itu menemukan sebanyak 144 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki bunga ganja dengan jumlah berat keseluruhan 75.51 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas, kedua-dua suspek adalah dalang utama untuk pengedaran dadah ke Eropah.

Kata beliau, modus operandi mereka adalah menggunakan rumah sewa atau inap desa dengan kadar harian RM180 sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran Eropah.

“Berdasarkan maklumat, sindiket dipercayai mula aktif sejak awal Januari tahun ini dan hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Selain itu, semakan rekod jenayah mendapati tiada sebarang kesalahan lampau direkodkan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Mat Zani berkata, suspek warga China juga disiasat sama ada menggunakan dokumen perjalanan sah masuk ke Malaysia atau sebaliknya.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan JSJN turut giat memburu saki-baki yang masih bebas bagi memastikan sindiket ini lumpuh sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM2.64 juta di pasaran gelap dan mampu merosakkan sehingga 151,000 orang yang menggunakannya.

“Tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil, di mana sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai RM25,327 disita menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan sebanyak RM2.67 juta,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN