PETALING JAYA: Malaysia perlu menjadikan Maldives sebagai negara contoh bagi memperkukuh industri pelancongan dalam negara, selain terus menarik pelancong dari serata dunia.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Maldives mempunyai pelbagai titik persamaan dengan Malaysia yang akan memudahkan kerjasama dilakukan.
Katanya, Maldives yang terkenal dengan sektor pelancongannya perlu dijadikan sebagai panduan kepada Malaysia terutama majoriti penduduk negara tersebut turut adalah penganut agama Islam.
“Sumber pendapatan utama Maldives adalah perkhidmatan terutama pelancongan. Sebenarnya sektor utama kita juga adalah perkhidmatan.
Jadi dengan peningkatan kerjasama ini, banyak potensi yang akan dapat kita peroleh.
“Kita juga boleh belajar bagaimana Maldives menguruskan sektor pelancongan mereka, sektor tersebut bukan sahaja tentang individu datang ke satu tempat di negara kita tetapi ia lebih daripada itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar semalam melaporkan, Malaysia dan Maldives berhasrat mempelbagaikan kerjasama dalam bidang baharu termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan teknologi digital.
Dengan menyatakan kedua-dua negara sebagai negara maritim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata potensi untuk kerjasama adalah luas dan terus berkembang merentasi pelbagai sektor dalam semangat manfaat bersama.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu mencari langkah mengalakkan peneraju industri untuk mengembangkan aktiviti perniagaan mereka merentasi sempadan.
“Apa yang berlaku sebelum ini, apabila kita nak pergi ke negara jiran dan sebagainya, banyak kekangan yang berlaku antaranya pelbagai syarat dikenakan seperti memerlukan penglibatan rakyat tempatan dalam ekuiti syarikat.
“Jadi saya lihat kerjasama antara Malaysia dan Maldives harus melihat aspek ini iaitu bagaimana untuk kita memudahkan syarikat tempatan untuk mengembangkan operasi mereka ke Maldives,” katanya. – UTUSAN