Calon dapat A penuh SPM perlu sambung jurusan perubatan di universiti - Utusan Malaysia

Calon dapat A penuh SPM perlu sambung jurusan perubatan di universiti

DZULKEFLI Ahmad (dua dari kanan) melihat seorang pengunjung menjalani ujian mata di Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di PPR Kota Bharu, Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang memperoleh keputusan A penuh (‘straight’ A) disaran untuk menyambung jurusan perubatan semasa di peringkat universiti.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mengakui bimbang apabila melihat trend penurunan minat pelajar-pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat akan turut memberi kesan terhadap jurusan perubatan.

“Saya menaruh sedikit kebimbangan kerana ini (STEM) merupakan aliran sains yang akhirnya akan menjadi ‘supply pipeline’ kepada pelajar untuk mengambil jurusan perubatan.

“Justeru, kementerian berkaitan termasuk KKM, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya berusaha menarik kembali minat pelajar terhadap STEM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, Jalan Kelochor, di sini hari ini.

Dzulkefly memberitahu, beliau beranggapan bahawa sangat mustahak untuk menyuntik kembali minat pelajar terhadap STEM agar permasalahan daripada sudut sumber manusia di KKM akan dapat segera diatasi.

Katanya, langkah itu termasuk mengekalkan pakar-pakar dalam KKM selain menyegerakan pendekatan hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan.

“Sehubungan itu, penting untuk saya dan KKM memberikan sokongan berterusan terhadap STEM bagi memastikan kesuburan sektor perubatan di negara ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN