GUA MUSANG: Masalah buta huruf dan teknologi menjadi ‘musuh’ terbesar buat masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temiar yang tinggal Kampung Pos Hau, dekat sini untuk memasarkan produk kraftangan dihasilkan mereka.
Seorang penduduk Saodah Lakun, 55, berkata, produk seperti penyapu setakat ini hanya dijual kepada penduduk dan orang luar yang datang berkunjung serta mengadakan program di Pos Hau pada hari-hari tertentu.
Katanya, dia hanya mendapat pendapatan lumayan pada program yang dianjurkan agensi luar kerana ketika itu ramai orang luar berminat membelinya.
“Saya mula menghasilkan penyapu daripada pokok riong sejak 1992 dan menjadikan hasil jualan sebagai sumber pendapatan untuk membesarkan tiga anak.
“Saya menjualnya dengan harga RM10 sebatang dan berdasarkan pengalaman, penggunaan penyapu ini boleh bertahan sehingga tiga tahun sekiranya tidak terkena air,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Tijah Mat, 59, mengakui masalah buta huruf dalam kalangan penduduk merupakan cabaran terbesar mereka membawa hasil seni turun-temurun yang diusahakan ke kawasan luar.
“Besar harapan kami agar pelancong yang datang ke sini dapat mempromosikan kraftangan yang dihasilkan selepas mereka pulang ke kawasan bandar.
“Bagaimanapun, ada sesetengah penduduk mengikuti program dianjurkan Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya.










