BUKIT MERTAJAM : Lima individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang warga emas di Cherok Tokun di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.22 petang.
Katanya, polis dimaklumkan bahawa berlaku satu pergaduhan berdekatan sebuah pondok di kawasan terbabit sehingga menyebabkan kematian lelaki berusia 63 tahun itu.
“Siasatan mendapati, mangsa bersama lima rakan termasuk suspek yang berusia 70 tahun sedang duduk bersembang di pondok tersebut ketika kejadian.
“Secara tiba-tiba, suspek mendatangi mangsa dari arah belakang dan terus memukulnya dengan sebatang kayu sehingga menyebabkan mangsa rebah ke lantai.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau sebelum menikam mangsa dan segera meninggalkan lokasi selepas kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, pergaduhan tercetus dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang telah berlarutan sejak tiga hari lalu.
Katanya, ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN