KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menghalang anggotanya menggunakan media sosial namun perlu berhati-hati dengan mengelakkan daripada mengulas isu-isu sensitif.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, tindakan mengulas isu-isu sensitif itu bercanggah dengan etika penjawat awam.
“Kami tidak menghalang penggunaan media sosial, malah menggalakkan penggunaannya untuk menyebarkan program jabatan dan pencapaian peribadi.
“Meskipun media sosial adalah medium yang baik untuk menyampaikan maklumat, penggunaannya perlu mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Kelantan di Balai Bomba Tunjong, di sini hari ini.
Sementara itu, Nor Hisham berkata, JBPM sedang menjalankan siasatan terhadap dua lagi anggotanya yang dipercayai membuat hantaran komen jelik terhadap individu dalam media sosial, baru-baru ini.. – UTUSAN