PETALING JAYA: Berpegang teguh dengan prinsipnya, pengacara, Elly Mazlein tidak akan mendededahkan wajah anak-anaknya, Sefhia dan Haider Matten di media sosial.
Menurut Elly, selain ingin menjaga privasi, dia juga mahu anak-anaknya bebas menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa meskipun tahu ibunya seorang selebriti.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan. Saya ingin mereka merasa hidup bebas. Taknaklah rasa mak dia artis atau selebriti.
“Alhamdulillah sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sidang media Big Stage Alpha, pada Khamis.
Sedar perkara itu juga mula menjadi ikutan beberapa artis lain, Elly menganggap setiap insan yang bergelar ibu bapa berhak untuk melakukannya.
“Apabila ada artis-artis lain membuat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka. Teruskan sahaja.
“Itu juga hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa kongsikan anak mereka di media sosial. Namun bagi saya, saya gembira dengan keputusan yang dibuat untuk anak-anak,” jelasnya.
Selain itu, Elly bersyukur apabila prinsipnya itu dihormati peminat dan tidak mendedahkan wajah anaknya di media sosial jika terserempak di luar.
“Kalau saya bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya.
“Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto anak-anak wajah akan ditutup dengan emoji.
“Jadi kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka akan blur wajah anak-anak saya,” katanya.
Mengulas mengenari Big Stage Alpha, Elly dan pengacara Indonesia Rina Nose sekali lagi dipilih sebagai hos program realiti tersebut yang akan mula bersiaran 27 April depan.
Big Stage buat julung kali menampilkan format ‘all-male spin-off’ bagi memberi saingan buat 18 bintang lelaki merebut peluang menjadi kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro.
Untuk rekod, Elly telah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Haider, 4 tahun. – UTUSAN