KOTA BHARU: Golongan ibu bapa perlu memberi pendidikan agama secara lebih mendalam kepada anak-anak masing-masing sekali gus membendung masalah sumbang mahram dan rogol di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, tindakan itu bukan bermaksud kerajaan negeri mahu bersikap lepas tangan namun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
“Ibu bapa ada tanggungjawab mereka, kerajaan negeri pun ada tanggungjawab. Jadi kita harap semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bersama-sama membendung masalah ini.
“Ibu bapa tidak boleh mengharapkan guru-guru di sekolah kerana masa anak-anak adalah lebih banyak bersama ibu bapa di rumah. Jadi perlu bersama-sama memainkan tanggungjawab masing-masing,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Terdahulu, Polis Kelantan mendedahkan kanak-kanak perempuan di Kelantan dikesan terlibat dengan sumbang mahram seawal usia 10 tahun berpandukan kepada laporan yang diterima.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lebih membimbangkan kanak-kanak itu melakukan hubungan intim tersebut dengan sepupunya sendiri yang berusia 11 tahun. – UTUSAN