Belakang berlubang besar akibat bisul - Utusan Malaysia

Belakang berlubang besar akibat bisul

BISUL boleh menjadi semakin besar dan menyebabkan kesakitan yang teruk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ngeri melihat bisul yang menutupi sebahagian besar belakang wanita yang mahu dikenali sebagai Kak Nur. Selepas bisul dan nanah dikeluarkan dan dicuci, ia meninggalkan ‘kawah besar’ di belakang badannya.

Asalnya menurut wanita lingkungan usia 40 an itu, dia merasa sakit berdenyut-denyut di belakang badan. Selepas diperiksa, terdapat beberapa jerawat-jerawat kecil yang kemerah-merahan.

Pada mulanya Kak Nur fikir ia berlaku disebabkan gigitan semut dan hanya menyapu krim bagi menghilangkan rasa gatal tetapi setiap hari ia semakin menyakitkan. Selepas diperiksa doktor, Kak Nur terpaksa ditahan kerana kadar gula di dalam darahnya terlalu tinggi. Kak Nur juga mengaku gemar minum teh o manis satu teko setiap hari. Lebih mengejutkan pengambilan gulanya juga sangat banyak iaitu sekampit gula untuk seminggu.

Bisul lazimnya berlaku di kawasan yang terdapat folikel rambut dan berminyak. Strukturnya seperti jerawat yang kadangkala ‘bermata’ dan sebaliknya. Pada mulanya, kulit menjadi merah di kawasan jangkitan dan kemudian benjolan lembut terbentuk.

Selepas empat hingga tujuh hari, benjolan mula berubah menjadi putih apabila nanah berkumpul di bawah kulit. Bisul boleh menjadi semakin besar dan menyebabkan kesakitan yang teruk.

Tempat yang paling kerap timbul bisul seperti di sekitar kawasan punggung, betis, sekitar muka, leher, ketiak, bahu, payudara, pangkal paha, sekitar kemaluan dan bahagian belakang bada.
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Zairizam Zakaria berkata, ramai menyangka bisul berlaku kerana darah di dalam badan seseorang kotor tetapi ia sebenarnya kurang tepat.

“Secara amnya bisul boleh berlaku apabila kulit terluka disebabkan oleh pelbagai sebab seperti trauma, gigitan binatang, luka pembedahan dan sebagainya. Bisul juga berpunca daripada infeksi atau jangkitan oleh bakteria yang boleh menghasilkan nanah seperti stahpyloccus dan streptococcus.

“Bisul juga boleh terjadi apabila berlaku jangkitan ke atas penyakit-penyakit kulit lain seperti ekzema, jerawat, dermatitis dan ketumbuhan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Katanya lagi, faktor risiko yang meningkatkan berkemungkinan menyebabkan seseorang mendapat bisul adalah disebabkan memiliki daya pertahanan badan yang lemah, antaranya penghidap diabetes atau kencing manis.

Tanda awal dan rawatan bisul

Tanda-tanda awal bisul yang perlu diperhatikan adalah kesakitan disebabkan kulit menjadi kemerahan dikuti demam. Kulit yang kemerahan timbul seakan benjolan yang semakin membesar.

“Kulit di keliling bisul mungkin juga terasa panas apabila ia disentuh. Pesakit juga mungkin mengalami demam dengan suhu tinggi seperti 40 celcius apabila nanah mula terbentuk. Jika tidak diberikan rawatan segera, benjolan biasanya akan membesar.

“Ketika ini permukaan benjolan mula kelihatan keputihan dengan kulit semakin tegang dan nipis. Kadang-kadang bisul boleh pecah dengan sendiri dan sembuh apabila nanah keluar dengan sepenuhnya dan infeksi dapat dikawal dengan antibiotik disamping penjagaan luka yang betul,” katanya.

Katanya, walaupun kebanyakan bisul boleh sembuh sendiri tanpa rawatan tetapi ada jenis bisul yang perlu dirawat oleh doktor terutama bersaiz besar atau berlaku berhampiran mata.

Sekiranya dibiarkan, bisul boleh menyebabkan berlaku komplikasi bisul merebak ke kawasan yang lebih besar, jangkitan ke dalam saluran darah yang boleh menyebabkan infeksi merebak ke organ-organ lain atau anggota badan lain.

Katanya pada peringkat awal jangkitan, terutamanya sebelum nanah terbentuk, ia mungkin boleh dikawal dengan penggunaan antibiotik yang biasanya diambil secara oral atau dimakan dan pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad.

 

 

“Bagi keadaan bisul yang lebih serius, pesakit mungkin perlu dimasukkan ke wad untuk mendapatkan antibiotik melalui vena atau salur darah. Ini kerana jika nanah sudah terkumpul, penggunaan antibiotik sahaja mungkin tidak dapat merawat bisul secukupnya.

“Rawatan bisul memerlukan pembedahan di mana suatu bukaan dibuat pada kulit untuk mengeluarkan nanah sepenuhnya (incision and drainage), diikuti rawatan luka dengan antiseptik sehingga sembuh.

“Selepas dicuci sehingga bersih dan tiada lagi jangkitan, luka yang sesuai boleh dijahit (secondary suturing) untuk mempercepatkan proses penyembuhan,” terangnya.

Bisul yang dibiarkan tanpa rawatan, boleh merebak ke kawasan lebih besar dan semakin dalam menyebabkan rawatannya lebih kompleks, membabitkan struktur-struktur anatomi yang penting seperti salur darah, saraf, kelenjar limfa dan sebagainya.

Jika berlaku jangkitan ke dalam saluran darah (septicaemia), bakteria boleh tersebar ke organ dalaman seperti jantung, buah pinggang, otak dan hati dan ini boleh menyebabkan jangkitan yang amat serius

Ramai yang membiarkan bisul pecah sendiri terutama bisul yang kecil tetapi bisul sebenarnya boleh berjangkit melalui sentuhan terutama jika individu terbabit mempunyai luka di kulit dan lebih tinggi risiko kepada pesakit yang mempunyai daya pertahanan badan yang lemah.

Mencegah bisul

Bagi mencegah bisul daripada berulang, penjagaan kebersihan diri perlu sentiasa diberi perhatian. Pastikan anda sentiasa membasuh tangan dengan sabun atau gunakan cecair antiseptik untuk menyahkuman.

“Selain itu, elakkan berkongsi barang-barang seperti tuala dengan individu lain yang mungkin mempunyai jangkitan bakteria seperti Staphylococcus. Elakkan luka-luka kecil yang boleh berlaku tanpa kita sedari seperti waktu bercukur dan sebagainya.

“Jika ada sesuatu luka, perlulah dipastikan penjagaan luka mesti dilakukan dengan cara betul. Sebaiknya luka itu ditutup dengan alat yang sesuai untuk mengelak berlakunya jangkitan. Pesakit kencing manis hendaklah sentiasa memastikan paras gula dalam darah sentiasa optimum,” katanya.

Selain itu, digalakkan mengamalkan personal penjagaan kesihatan yang baik seperti kerap mandi dan membasuh tangan. Pesakit diabetes hendaklah mengawal kadar gula dan menjaga luka dengan baik. Segera berjumpa dengan pengamal kesihatan jika muncul tanda-tanda awal bisul untuk menerima rawatan segera.

Katanya lagi, daripada segi diet, tidak ada makanan secara spesifik boleh menyebabkan berlakunya bisul. Pendapat yang mengatakan makanan seperti telur boleh secara langsung menyebabkan nanah atau bisul adalah tidak benar.

Bagaimanapun, untuk pesakit-pesakit yang mempunyai alergi atau alahan kepada sesuatu makanan, mereka perlulah mengelak daripada mengambil makanan yang menjadi punca alahan.

Ini kerana alergi boleh menyebabkan ruam dan rasa gatal di seluruh badan. Seterusnya, pesakit mungkin akan menggaru kulitnya secara agresif dan menyebabkan luka. Jika berlaku jangkitan pada kawasan luka, bisul boleh berlaku.

Bagaimanapun anda digalakkan mengamalkan pemakanan sihat terutama makanan mengandungi anti radang seperti ikan berlemak seperti patin atau tuna. Amalkan makan sayuran hijau seperti kailan atau bayam. Kunyit yang sering digunakan dalam masakan juga, tinggi bahan antioksidan dan membantu mengurangkan keradangan.

Tambah diet anda dengan kekacang, lemak sihat, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilih bijirin penuh seperti beras perang, quinoa dan oat. Anda juga perlu makan ayam dan ikan dalam hidangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×