Bantuan sewa rumah tiga bulan disalurkan esok

Bantuan sewa rumah tiga bulan disalurkan esok

AMIRUDIN Shari melakukan gimik Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara KDEBWM dan Nestle Malaysia Bagi Program SELKitar di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bantuan sewa rumah selama tiga bulan akan disalurkan kepada 396 keluarga mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan RM2,000 sebulan itu bakal diserahkan kerajaan negeri kepada semua ketua isi rumah yang layak.

“Pada Khamis ini, kita akan serah bantuan itu yang akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun (bank) mereka.

“Selain penyerahan bantuan kewangan itu, mereka akan diberikan taklimat mengenai pro­ses pembinaan semula rumah yang terjejas dalam tragedi berkenaan,” katanya ketika di­temui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia Bagi Program SELKitar di sini, semalam.

Sebelum ini, penduduk ter­libat men­dakwa belum mene­rima sebarang penjelasan rasmi me­ngenai pelan tindakan susulan daripada kerajaan atau pihak berkaitan selepas insiden sudah memasuki hari ke-20.

Biarpun terdapat maklumat awal bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalankan kerja baik pulih rumah yang rosak, tiada keputusan muktamad atau penjelasan terperinci mengenai spesifikasi pembinaan semula itu.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan sewa sehingga RM2,000 sebulan kepada 613 keluarga mangsa yang terpaksa berpindah ke rumah lain berikutan kediaman mereka terjejas.

Tambah Amirudin, penera­ngan awal berkaitan proses membaik pulih rumah mangsa turut akan diperjelaskan kepada penduduk terlibat.

“Kita telah menghantar proposal (cadangan) kepada keraja­an Persekutuan mengenai kae­dah pembaikan itu yang melibatkan aspek peruntukan besar. Kini, kita menunggu keputusan Kabinet dan akan maklumkan jika Jemaah Menteri sudah bersetuju nanti,” ujarnya.

Katanya, pihaknya perlu meneliti pelbagai perkara kerana insiden itu melibatkan kawasan kampung dan taman yang memerlukan pendekatan berbeza.

“Sebab itu kita sudah maklumkan bahawa perlukan antara satu ke dua minggu untuk menjelaskannya. Kita kini on track (pada landasan) dan akan membantu mangsa sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya