KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menghulurkan bantuan segera kepada Sekolah Menengah (SMK) Tinggi Setapak, susulan kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan asrama sekolah itu semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan pada waktu ini adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terjamin.
“Saya telah mendapat perkhabaran mengenai musibah kebakaran di SMK Tinggi Setapak.
“Bantuan segera akan disalurkan untuk memastikan kesejahteraan semua yang terlibat terpelihara,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Semalam, sebuah blok asrama di sekolah berkenaan yang menempatkan 91 pelajar lelaki terbakar pada pukul 8.43 malam.
Bagaimanapun, semua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunggu waktu Isyak.
Komander Operasi Bomba, TPgB II Japari Tajuddin memaklumkan kebakaran melibatkan tingkat satu bangunan itu mengakibatkan 80 peratus bahagian asrama musnah. – UTUSAN