PUTRAJAYA: “Tunggu sekejap… Jangan dikenang orang jauh.”
Itu reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh dengan mendendangkan lagu seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul ‘Tunggu Sekejap’ ketika ditanya pemberita berhubung keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau kemudiannya meminta pemberita untuk membuat pencarian di Google tentang maksud lirik lagu tersebut sebelum meninggalkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Sains dan Teknologi (Mosti) di sini, hari ini.
Reaksi spontan Presiden PKR itu seolah-olah menggambarkan beliau cuba meredakan ketegangan, tidak mahu memberi jawapan terus atau belum bersedia untuk mengumumkan sesuatu secara rasmi.
Ahli PKR di tujuh negeri selesai menunaikan tanggungjawab memilih ketua cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang dan sayap wanita cabang bagi penggal 2025–2028.
Pemilihan PKR kali ini menyaksikan beberapa pemimpin kanan yang bertanding tewas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Setiawangsa apabila kalah kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki.
Begitu juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim gagal dalam cubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya selepas hanya meraih 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang mendapat 1,905 undi.
Keputusan yang agak mengejutkan juga berlaku dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kapar apabila bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid gagal mempertahankan pengaruhnya dan tewas dalam persaingan sengit merebut jawatan tersebut.
Di Selangor, antara pemimpin kanan PKR yang tewas ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang tewas kepada Najwan Halimi bagi jawatan ketua cabang.
Rodziah masih mempunyai saingan bagi jawatan Ketua Wanita PKR menentang penyandang yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Bagi Cabang Selayang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat gagal dalam pertembungan tiga penjuru selepas hanya meraih 1,648 undi di belakang pencabarnya, Kamarudin Mohd Hussain yang memperoleh 2,041 undi. Calon ketiga, Wan Ibnul Bahar Wan Ismail pula memperoleh 28 undi. – UTUSAN