Akmal Nasir perlu berlapang dada kekalahan - Mohamad Taufiq

Akmal Nasir perlu berlapang dada kekalahan – Mohamad Taufiq

MOHAMAD Taufiq Ismail ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang, di Taman Kota Puteri, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir perlu berlapang dada dan menerima keputusan akar umbi susulan kekalahan pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Ahad lalu.

Menurut Mohamad Taufiq Ismail yang diumumkan pemenang Ketua Cabang PKR Johor Bahru berkata, bantahan dibuat Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) juga tidak berasas.

“Dakwaan dibuat Akmal hanyalah gimik dan tidak berasas, tindakan beliau mendakwa ada tangan-tangan ghaib juga tidak wajar dibuat.

“Kita sudah selesai melakukan pemilihan, nasihat saya biarlah dia fokus sepenuhnya tugas sebagai Ahli Parlimen dan juga timbalan menteri, biar saya uruskan parti di Johor Bahru,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang, di Taman Kota Puteri, di sini hari ini.

Tambah Mohamad Taufiq, tindakan Akmal membuat akuan bersumpah (SD) kononnya menipu bukti mendapat 949 undi merupakan satu pelanggaran kepada proses pemilihan sendiri.

“Selepas dia membuat SD berhubung perkara itu, saya juga turut menghantar surat bantahan kepada JPP terhadap Akmal kerana mengeluarkan kenyataan tidak rasmi mendahului JPP. Akmal turut membuat penyebaran berita tidak benar yang boleh memberikan risiko kepada kepercayaan ahli parti, selain turut beri implikasi undang-undang,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mohamad Taufiq menegaskan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama demi masa depan parti, selain menyatakan kesediaan menyokong Akmal sekiranya beliau bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Sekiranya Akmal membuat keputusan bertanding di peringkat MPP, saya sedia beri sokongan kepada beliau untuk meneruskan kepimpinan di peringkat pusat,” jelasnya.

Minggu lalu, Akmal tewas mengejut di tangan Mohamad Taufiq dan berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Ahli Parlimen Johor Bahru itu hanya mampu meraih 587 undi berbanding lawannya memperoleh 709 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya