IPOH: Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menafikan laporan berita mengenai dakwaan wujud surat akuan bersumpah (SD) ditandatangani ketua bahagian Bersatu Perak meminta Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diganti.
Datuk Muhammad Yadzan Mohammad yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjong Malim berkata, laporan sebuah portal berita mengenai mengenai dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, bukan budaya dalam Bersatu menggunapakai surat SD untuk lantikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN).
Beliau berkata, pelantikan Ketua BPN adalah kuasa penuh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa jua keputusan dan pelantikan yang dibuat oleh Presiden, disokong penuh tanpa ada keraguan sama sekali.
“Penyebaran laporan berita tidak benar dan tidak berasas dari sumber yang tidak bernama adalah amat dikesali dan motif portal tersebut boleh dipersoalkan. Tiada masa untuk melayani cubaan jahat memecahbelahkan perpaduan dalam Bersatu Perak.
“Kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak mendapat mandat penuh dari Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalau ada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan yang boleh mengganggu keharmonian dalam Bersatu Perak dengan menyebar berita palsu ini, tindakan tegas patut diambil pada individu tersebut,” katanya di sini.
Beliau mengulas laporan pergolakan dalam Bersatu Perak susulan isu cadangan pertukaran kerusi wakil rakyatnya dalam DUN didakwa semakin meruncing apabila ada surat SD meminta Ahmad Faizal atau Peja diganti.
Menurut laporan tersebut, perkara itu didedahkan salah seorang daripada ketua bahagian Bersatu di negeri ini yang enggan dinamakan.
Beliau mendakwa surat SD terbabit ditandatangani 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang tidak bersetuju dengan cara Ahmad Faizal memohon pertukaran tempat antara ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Bandi.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak sebelum ini mengesahkan memohon menukar tempat duduk Zainol Fadzi susulan pelantikan Nadziruddin sebagai Setiausaha Bersatu Perak.
Mac lalu Zainol Fadzi meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak
Sebelum ini, Ahmad Faizal enggan mengulas laporan portal berita tersebut kerana memetik sumber tanpa nama.
“Saya tak komen atas artikel yang merujuk sumber yang tak bernama,” katanya kepada Utusan Malaysia.- UTUSAN