PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 kepada seluruh warga TLDM, para veteran serta mereka yang pernah menabur bakti dalam angkatan tersebut.
Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga serta veteran TLDM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut menzahirkan penghormatan kepada anggota TLDM yang telah terkorban dalam menjalankan tugas demi negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada,” titah baginda.
Sempena sambutan bertemakan “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara”, Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar TLDM terus maju dan menjadi sebuah angkatan yang disegani di pentas antarabangsa. – UTUSAN