KUALA LUMPUR: “Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlakukan zalim?”
Demikian luahan ‘abang belon’ atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, berhubung kejadian yang menimpanya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini, baru-baru ini.
“Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tidak ada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya? Saya ambil tindakan itu untuk mempertahankan maruah diri dan keluarga.
“Pada 28 Mac lalu di Sogo, saya hanya jual belon, saya tidak jual dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Dang Wangi di sini, hari ini.
Tambah Muhammad Zaimuddin, dia yang bekerja sebagai kedi di kelab golf ketika itu menjual belon untuk mencari pendapatan tambahan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim,” katanya.
Tegasnya, pihak berkuasa seharusnya menjaga integriti dan mengikut peruntukan undang-undang ketika melaksanakan tugas.
Pada 29 Mac lalu, akhbar melaporkan berlaku perselisihan antara peniaga belon dan penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Berdasarkan dua rakaman video tular dalam media sosial, berlaku aksi tolak menolak antara penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Akibat kejadian itu, Muhammad Zaimuddin menerima rawatan di hospital akibat kecederaan belakang badan.
Insiden itu menerima reaksi pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik yang mahu siasatan terperinci dilakukan segera. – UTUSAN








