PUTRAJAYA: Sebanyak 200 projek Program Reformasi Birokrasi (RKB) yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya menjimatkan kos pematuhan peraturan berjumlah RM542 juta sepanjang tahun lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RKB diperkenalkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai langkah holistik untuk merangsang pertumbuhan sektor swasta.
Program ini bertujuan menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengurangkan kerenah birokrasi demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra, produktif dan kompetitif.
“Ini adalah pencapaian cemerlang yang mengukuhkan keyakinan terhadap keberkesanan reformasi yang dilaksanakan serta membuktikan bahawa transformasi sektor awam mampu memberikan impak langsung terhadap pengurusan sumber negara secara lebih mampan.
“Menjelang 2025, lebih 700 projek tambahan telah didaftarkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 972 projek, dengan sasaran penjimatan kos sebanyak RM1.5 bilion,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment di sini hari ini.
Beliau berkata, inisitif ini mencerminkan usaha bersepadu kerajaan dalam membina ekosistem perniagaan yang lebih dinamik, inovatif, produktif dan kompetitif, sekali gus membuka laluan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan.
Setakat ini, katanya, sebanyak 62 projek RKB telah berjaya diselesaikan, membuktikan komitmen tinggi seluruh jentera pentadbiran negara terhadap aspirasi reformasi sebagaimana digariskan dalam Pekeliling Reformasi Birokrasi.
“Bagi memastikan pertumbuhan produktiviti dan daya saing ekonomi negara terus mapan, kecekapan sektor awam dan swasta mesti bergerak seiring.
“Sektor swasta merupakan tunjang ekonomi negara, menyumbang 91 peratus kepada peluang pekerjaan dan 90.8 peratus kepada keluaran ekonomi. Namun tanpa persekitaran perniagaan yang kondusif, potensinya terbantut,” katanya. – UTUSAN