KUALA LUMPUR: Seramai 65 Orang Asli suku Jakun berjaya mengetepikan perintah mahkamah yang membenarkan penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat yang merupakan aset Tabung Amanah mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Tenchiong memutuskan demikian selepas membenarkan saman pemula difailkan kumpulan Orang Asli itu selaku pemohon yang menamakan RHB Trustees Berhad selaku pemegang amanah Linggiu Valley Orang Asli sebagai responden pada prosiding berlangsung kelmarin.
Mahkamah Tinggi itu namun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Selain membenarkan saman pemula, mahkamah memerintahkan bahawa sebarang penjualan dan pindah milik semua 57 unit kondominium yang terletak di bawah hak milik strata hendaklah dijual dengan harga nilai pasaran serta melalui tender terbuka atau lelongan awam.
Mahkamah juga memerintahkan penjualan dan pindah milik kesemua unit kondominium itu hendaklah dikendalikan oleh perunding-perunding bebas termasuk peguam, penilai serta ejen harta pusaka.
Peguam, Rabia Abd. Halim dibantu peguam, Siti Zabedah Kasim yang mewakili kesemua pemohon mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi media.
Orang Asli terbabit adalah penerima pampasan dibayar Kerajaan Negeri Johor menurut perintah dan Surat Ikatan Amanah bertarikh 5 Jun 2000 melalui saman pemula diputuskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan susulan itu tertubuhnya Linggiu Valley Orang Asli.
Semua pemohon memfailkan saman pemula itu pada 16 Julai 2024 dengan alasan bukan sahaja persetujuan tidak diperoleh daripada semua benefisiari tabung amanah itu, namun responden enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan mengenai tindakan menjual 57 unit kondominium terbabit.
Selain itu, mereka menyatakan bahawa perintah jualan bertarikh 20 Jun 2023 untuk penjualan unit kondominium tidak dibuat secara adil selain terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon serta mahu penjualan harusnya dijalankan secara jualan lelongan awam.-UTUSAN