582 polis dan pasangan undi awal hari ini

582 polis dan pasangan undi awal hari ini

PETUGAS SPR membuat persiapan akhir bagi hari undi awal melibatkan pegawai dan anggota polis serta pasangan di Dewan Merdeka Tapah, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai 582 pegawai dan anggota polis serta pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian akan dijalankan di dua pusat mengundi awal iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi APR Transit di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Pusat mengundi di IPD Tapah akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala di PGA Bidor dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK DUN Ayer Kuning, Mohammad Shahir Mohammad berkata, seramai 555 pengundi akan mengundi di PGA Bidor manakala 27 lagi di IPD Tapah.

“Semalam kita telah jalankan semakan peti undi awal yang disaksikan pihak polis dan pegawai bertugas. Segala proses berjalan lancar termasuk penyusunan kertas undi dan dakwat kekal yang kemudiannya disimpan di lokap IPD Tapah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohammad Shahir memaklumkan seramai 18 petugas termasuk tiga anggota polis pengi­ring akan bertugas, melibatkan tiga saluran dan dua pusat mengundi.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Merdeka Tapah semalam mendapati petugas SPR hadir seawal pukul 8 pagi bagi menyemak peralatan pilihan raya dan peti undi sebelum dihantar ke pusat mengundi masing-masing.

Berdasarkan data SPR, seramai 82 pegawai dan anggota polis telah pun menjalankan undi secara pos bagi PRK kali ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di Tapah pada pagi esok namun ribut petir dijangka pada sebelah petang.

SPR menetapkan hari peng­undian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, manakala undi awal berlangsung 22 April, berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN