SUBANG JAYA: Seramai 4,600 penjawat awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan membantu mangsa dalam Op Mega Pembersihan yang berlangsung selama dua hari di lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights di sini, bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyertaan besar-besaran itu adalah salah satu inisiatif membantu mangsa-mangsa terjejas berikutan insiden berkenaan.
Kata beliau, ia turut dibantu 264 unit kenderaan dan jentera pembersihan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan.
“Hari ini, kita dapat menggerakkan satu inisiatif sebagai satu tanda solidariti bersama rakan-rakan kita yang terkesan akibat kebakaran berpunca daripada kebocoran paip gas baru-baru ini.
“Ini adalah sikap dan budaya yang harus kita kekalkan pada hari ini dan pada masa depan sejajar usaha kerajaan negeri untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan prihatin,” katanya ketika merasmikan Op Mega Pembersihan, hari ini.
Amirudin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dekat dan jauh dan di atas sumbangan tenaga dan kudrat. Inilah contoh bagaimana kita bersama-sama menangani krisis dan meringankan beban masyarakat,” katanya.
Operasi besar-besaran dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Seksyen PBT Unit Perancang Negeri Selangor (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu merupakan usaha gotong-royong berikutan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights.
Aktiviti pembersihan akan dijalankan di sekitar rumah dan kawasan yang telah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan empat sektor utama iaitu A, B, C dan D.
Antara agensi yang turut serta ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM),JKR, KDEB Waste Management (KDEBWM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp serta syarikat konsesi seperti Alam Flora, Southern Waste Management Sdn. Bhd. dan E-Idaman Sdn. Bhd.
MBSJ turut menyeru orang ramai agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi sepanjang proses pemulihan dijalankan. – UTUSAN