JOHOR BAHRU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar seramai 35 orang pegawai perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher yang melanda negara itu, pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi menampung operasi pembukaan hospital medan seperti yang dimohon kerajaan tersebut.
Katanya, lokasi hospital medan itu akan ditentukan oleh pihak kerajaan Myanmar.
“Hospital medan ini objektif operasinya untuk menjalankan dan memberi rawatan ortopedik dan trauma, menyediakan pembedahan kecemasan untuk mangsa-mangsa yang mengalami patah tulang dan sebagainya.
“Ini bagi mengurangkan risiko kecacatan kepada mangsa gempa bumi yang terjejas,” katanya selepas Majlis Perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd, Azizul Azily Ahmad.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kerajaan akan menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi di negara itu.
Keputusan itu dibuat setelah negara berkenaan memerlukan bantuan kerana ramai rakyat negara itu yang cedera.
Kata Mohamad, Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.
Sementara itu, menurut Mohamed Khaled, kementerian juga akan mengambil peluang ini bagi memberi kerjasama melatih pasukan perubatan Myanmar dalam soal capacity building (pengukuhan pengupayaan) daripada sudut kesihatan.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, kapasiti pesakit yang boleh dirawat dalam satu-satu masa akan ditentukan kemudian memandangkan akan ada kerjasama dengan negara ASEAN lain.
“Kami sudah bersedia hanya tunggu kebenaran dan isyarat dari Myanmar di mana mahu hantar,” ujarnya.
Beliau berkata, kementerian juga meminta kerajaan Myanmar memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan pegawai perubatan yang dihantar.
“Diharap kita (hospital medan ATM) diletakkan dalam kawasan bukan sahaja selamat malah diberi jaminan keselamatan pegawai-pegawai perubatan kita. Saya difahamkan, Myanmar memang bersetuju melakukan gencatan senjata.
“Namun begitu, walau ada gencatan senjata kadang kala ia dicabul, sebab itu antara yang kita minta adalah jaminan keselamatan,” katanya. – UTUSAN