KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara dalam operasi berasingan di sekitar bandar ini, Tumpat dan Tanah Merah semalam.
Kesemua PATI yang ditahan menerusi operasi yang bermula pukul 10 pagi itu masing-masing berusia antara 20 tahun hingga 55 tahun.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, lelaki warganegara Bangladesh menjadi individu yang paling ramai ditahan itu seramai 18 orang diikuti Indonesia (8), Thailand (3) dan Myanmar (3).
Menurutnya, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, JIM Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.-UTUSAN










