JAKARTA: Stesen Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Pekanbaru di wilayah Riau mengesan peningkatan mendadak jumlah titik panas kepada 4,845 di seluruh Sumatera, berbanding 3,157 yang direkodkan pada petang Rabu.
Peramal cuaca BMKG Pekanbaru, Yasir P berkata, angka itu berdasarkan data yang dikemas kini sehingga pukul 11 malam waktu tempatan pada Rabu.
Sumatera Selatan merekodkan jumlah titik panas tertinggi dengan mencatat angka berjumlah 3,847.
“Selain Sumatera Selatan, jumlah titik panas yang ketara turut dikesan di Jambi (384), Bangka Belitung (316) dan Lampung (251),” katanya di Pekanbaru semalam.
Titik panas turut dikesan di beberapa wilayah lain di Sumatera termasuk Riau (19), Bengkulu (19), Sumatera Utara (5), Sumatera Barat (2), manakala Kepulauan Riau dan Aceh masing-masing merekodkan satu kawasan.
Sementara itu, titik panas di Riau dikesan di empat kawasan dengan jumlah tertinggi direkodkan di Kuantan Singingi yang mencatat sebanyak 15 lokasi.
Baki titik panas masing-masing dikesan di Indragiri Hulu, Rokan Hilir dan Siak dan Kota Dumai.
Peningkatan jumlah tersebut di bahagian Sumatera Selatan menyebabkan jerebu menyelubungi wilayah Riau.
Data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah milik Kementerian Perhutanan turut mendapati, kira-kira 59,275 titik panas dikesan di 17 daerah dan bandar di Sumatera Selatan dari 1 September hingga semalam, menyebabkan wilayah itu menjadi ‘lubuk jerebu’ .
Sejak awal pagi Khamis, kepekatan zarah halus yang diukur berdasarkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) berada pada kategori sangat tidak sihat melebihi 200 mikrogram bagi setiap meter padu.
Susulan keadaan jerebu tebal yang berterusan di Riau, BMKG menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap kesan kesihatan, khususnya terhadap sistem pernafasan.
“Kami menasihatkan semua orang supaya memakai pelitup muka ketika berada di luar dan mengehadkan aktiviti luar jika jerebu semakin tebal,” katanya. – AGENSI











