PASIR PUTEH: Seramai 289 nelayan dari daerah ini dan Bachok menerima sumbangan berjumlah RM144,500 menerusi program Bantuan Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan merupakan inisiatif meringankan beban komuniti nelayan yang ditimpa musibah banjir hujung tahun lalu.
Katanya, ini termasuk hampir keseluruhan nelayan di penempatan ini yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selain hilang punca pendapatan dalam tempoh Monson Timur Laut (MTL).
“LKIM komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan nelayan terus terbela. Program ini juga bertujuan menyuntik semangat serta memberi sokongan moral kepada para nelayan dalam mengharungi kesan musibah banjir,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM bersama nelayan Kelantan, di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, sebanyak RM180,000 turut disalurkan kepada 12 nelayan daripada golongan B40 melalui program Penyerahan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan bagi membantu mereka meningkatkan hasil tangkapan serta menjana pendapatan lebih stabil.
“LKIM agihkan enjin bot 40 kuasa kuda kepada nelayan tradisional terpilih berasaskan keperluan bagi membolehkan mereka menjalankan kerja menangkap ikan dipesisir pantai,” katanya. – UTUSAN