MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri melancarkan program pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di Taman Seri Telok Mas di sini, menjadikan ia lokaliti kelima di Melaka yang dipilih dalam usaha memerangi wabak denggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak 25,000 ekor nyamuk Aedes berwolbachia akan dilepaskan setiap minggu selama 30 minggu bermula 28 April ini dengan kos melebihi RM300,000.
“Kaedah ini terbukti berkesan dan mesra alam kerana tidak menggunakan bahan kimia. Ia mampu menghalang penyebaran virus denggi melalui nyamuk pembawa.
“Malah, ia telah digunakan secara meluas di tujuh negeri lain seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya selepas merasmikan Projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Taman Seri Telok Mas, hari ini.
Tambah Hee Sem, Melaka mencatatkan penurunan sebanyak 43.95 peratus kes denggi setakat ini iaitu 403 kes berbanding 719 kes pada tempoh sama tahun lalu, dengan hanya satu kematian direkodkan.
“Tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas mencatatkan 169 kes denggi, namun sehingga April tahun ini, hanya 17 kes dilaporkan. Ini menunjukkan trend yang sangat positif,” ujarnya.
Sebelum ini, program sama berjaya dilaksanakan di Taman Bemban Jaya, Jasin; Pangsapuri Taman Tasik Utama dan Pangsapuri Sri Utama di Ayer Keroh serta Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang dengan penurunan kes mencecah lebih 70 peratus. – UTUSAN