PETALING JAYA: Divisyen Tol IJM hari ini meraikan sambutan Aidilfitri dengan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka di Bluedome Grand Hall, Sapura@Mines yang menghimpunkan lebih 1,800 tetamu dari pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik industri lebuh raya.
Majlis yang bertemakan “Kemeriahan Syawal Diraikan Bersama”turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Ts. Wan Salwani Wan Yusoff berkata, acara tahunan itu menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan muhibah antara pihak IJM dan rakan-rakan strategik.
“Tetamu yang hadir disajikan pelbagai hidangan tradisional dan moden, selain dihiburkan dengan persembahan bertemakan Aidilfitri yang menyerikan suasana,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Maslan atas kesudian beliau meluangkan masa menghadiri majlis tersebut.
Menurut Wan Salwani, majlis itu juga merupakan tanda penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menyokong pembangunan infrastruktur dan lebuh raya negara. – UTUSAN