SUBANG JAYA: Seramai 100 keluarga mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selasa lalu akan ditempatkan di rumah sementara menerusi skim SMART Sewa Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kadar sewaan bagi meringankan beban mangsa.
Katanya, lokasi kediaman sementara itu masih dalam proses dikenal pasti.
“Fokus utama kami sekarang adalah mencari penempatan lebih selesa berbanding pusat pemindahan sementara (PPS) yang hanya bersifat sementara.
“Kami juga sedang berbincang dengan pihak berkaitan termasuk sektor swasta dan hotel bagi memastikan mangsa ditempatkan secara lebih tersusun serta selesa,” katanya dalam sidang akhbar di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, semalam.
Katanya, pemulihan kawasan kediaman asal mangsa dijangka mengambil masa dan perbincangan lanjut dibuat bersama agensi berkaitan.
“Matlamat utama adalah memastikan setiap mangsa mempunyai tempat tinggal lebih selesa dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Amirudin menyerahkan kereta pinjaman daripada Chery Malaysia kepada 25 mangsa kebakaran.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan kerjasama bagi menyediakan pinjaman kenderaan kepada mangsa terjejas.











